MBA Harap Program Biodiesel B20 Dapat Diperkenal Pada 2017

Category: News Published: Thursday, 31 March 2016 Written by Administrator
CAMERON HIGHLANDS, 31 Mac (Bernama) - Dengan sokongan daripada agensi kerajaan dalam melaksanakan adunan lebih tinggi penggunaan biodiesel, Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) berharap program B20 seterusnya dalam sektor pengangkutan dapat diperkenalkan pada 2017.

Presidennya U.R Unnithan berkata langkah itu sejajar dengan komitment Malaysia untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam biodiesel, yang akan memberi banyak manfaat kepada ekonomi dari segi jaminan tenaga dan sokongan harga kepada minyak sawit mentah (MSM).

Program B20 melibatkan pengadunan 20 peratus metil ester minyak sawit (PME) dengan 80 peratus diesel bahan api fosil.

"Pada tahun ini, kita akan menyaksikan pelaksanaan B10 (10 peratus PME, 90 peratus diesel) yang mana, penggunaan tinggi biodiesel sawit pada 1.2 juta tan setahun, dijangkakan dapat membantu mengurangkan stok minyak sawit sebanyak 600,000 tan metrik".

"Sebelum ini, kedua-dua program B5 (5 peratus PME, 95 peratus diesel) dan B7 (7 peratus PME, 93 peratus diesel) diperkenalkan masing-masing pada Jun 2011 dan November 2014, dilaksanakan dengan lancar di seluruh negara", katanya.

Unnithan berkata demikian pada sidang media semasa ekspedisi dua hari ke Cameron Highlands menggunakan B10 dan adunan lain anjuran MBA.

Ekspedisi itu melibatkan 13 kenderaan diesel daripada tujuh jenama dan model berbeza yang diaturkan oleh syarikat ahli dan pihak berkepentingan MBA, melalui perjalanan melebihi 600 kilometer secara terkumpul, menggunakan diesel diadun dengan 10 peratus biodiesel sawit atau B10, B20, B50 dan B100.

Unnithan berkata ekspedisi itu bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan semua pihak berkepentingang program biodiesel di negara ini, serta pengguna secara umumnya, yang bahan api bersih boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

"Kebanyakan ahli MBA melihat majoriti orang awam kurang maklumat mengenai biodiesel dan bersetuju untuk meningkatkan lagi kempen untuk menyampaikan kepada mereka manfaat program itu.

"Sehingga hari ini, masih terdapat orang yang tidak menyedari mereka memandu kenderaan dengan penggunaan B5 atau B7," katanya.

MBA yang ditubuhkan pada 2008, mewakili kepentingan industri biodiesel di Malaysia dan mempunyai keahlian 20 syarikat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Souce: Bernama | Read More Here (registered only)



Hits: 1900

Find Us

Malaysian Biodiesel Association (MBA)
Wisma FMM,
No. 3, Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur, Malaysia.

(t) +603 6286 7200
(f) +603 6277 6714
(e) secretariat@mybiodiesel.org.my